Wednesday 21 December 2011

Kembara Barat dan Utara Thailand 2011 Hari 01: Kuala Lumpur - Surat Thani

Kembara Barat dan Utara Thailand 2011 Hari 01: Kuala Lumpur - Surat Thani

Hari 01 : Rabu 21/12/2011

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Catatan hari pertama setelah menempuh perjalanan sejauh kira-kira 830 km dari Kuala Lumpur hingga tiba di Surat Thani melalui Patthalung. Maka hari ini tercipta sejarah perjalanan pertama saya merentasi sempadan negara dengan bermotorsikal.




Restoran Jejantas R&R Sungai Buloh
Seperti dalam perancangan, R&R Sungai Buloh menjadi RV point untuk semua rider berkumpul dan bersarapan sebelum memulakan perjalanan. Seramai 6 peserta yang mengikuti trip pengembaraan rentas sempadan hari ini. Para rider dan jentera terdiri:
1. Bro Mas Fazillah  - KTM 990 Adventure
2. Bro Zainudin - BMW R1200GS
3. Bro Rahman  - BMW R1150RT
4. Bro Haji Halim - 2011 Versys 650
5. Bro Faiz - 2011 Versys 650
6. Bro Fauzy - 2011 Versys 650

 Dalam pukul 9:00 AM, kami mula bergerak dari Restoran Jejantas R&R Sungai Buloh.

9:30 malam sebelumnya (20/12/2011), sempat basuh motor dulu sebaik sahaja balik dari kerja. 


PETRONAS Simpang Pulai Arah Utara PLUS
Dalam 9:45 AM tiba di PETRONAS Simpang Pulai Arah Utara PLUS, merupakan hentian pertama untuk mengisi minyak setelah menempuh perjalanan kira-kira 168 km.

9:45 AM PETRONAS Simpang Pulai Arah Utara PLUS


Caltex R&R Gurun
Setelah menempuh perjalanan kira-kira 211 km dari Simpang Pulai, kami tiba Caltex R&R Gurun untuk mengisi minyak dan juga urusan membeli insuran motor, mengisi borang imigresen dan kastam Thailand dan juga menukar atau membeli matawang Baht Thailand bagi rider yang belum berbuat demikian.

Perkongsian langkah-langkah perlu dilakukan sebelum ke pusat ICQ Thailand (melalui Sadao) jika anda hendak membawa motor ke Thailand.

1. Membawa geran asal atau salinan geran dimana mestilah diatas nama pemegang passport (rider). Sekiranya ianya bukan diatas nama rider atau atas nama syarikat, surat kuasa membawa motor tersebut hendaklah dibuat /disertakan.(boleh google untuk mendapatkan contoh surat)

2. Motorsikal perlu ada insuran sepanjang tempoh berada di Thailand, sekurang-kurang insuran untuk tuntutan pihak ketiga dan lebih baik insuran penuh. Menggunakan agen untuk urusan membeli insuran dibandar-bandar terdekat dengan sempadan adalah lebih senang. Semasa membuat insuran ini, sila serahkan geran motor dan passport anda kepada agen.

3. Agen akan uruskan sekali kad putih imigresen (TM6 Departure/Arrival Card) dan borang TM2 Information Conveyance dan TM3 Passenger List yang mengandungi pembonceng (jika turut serta) sebanyak 2 salinan bagi urusan imigresen Thailand nanti

Imigresen dan Kastam (ICQ) Bukit Kayu Hitam
Tiada masalah, hanya perlu menyerahkan passport kepada imigresen Malaysia di laluan motorsikal tanpa perlu turun dari motor.

Imigresen dan Kastam (ICQ) Sadao
Oleh kerana orang tidak terlampau ramai, kami dapat memarkir moto selepas lorong motorsikal bersebelahan dengan booth Imigresen dan Kastam Sadoa

Langkah-langkah perlu dilakukan semasa di ICQ Thailand (melalui Sadao):
1. Sebaik sampai di ICQ sebelah Thailand, parkir motor ditempat yang disediakan atau diarahkan oleh pihak keselamatan Thailand. Rider atau pemegang geran termasuk pembonceng harus selesaikan urusan passport terlebih dahulu di booth imigresen dilorong yang sama termasuk menyerahkan borang TM3. Adalah menjadi kebiasaan untuk menyerahkan passport beserta bayaran RM2 passport kepada pegawai imigresen bertugas.

2. Pastikan borang TM3 tersebut distamp masuk, begitu juga kad putih ('TM6 Departure/Arrival Card' atau 'Disembarkation Form') dan passport rider dan pembonceng. Satu salinan  TM3 diambil oleh imigresen dan satu lagi haruslah disimpan untuk diserahkan kembali kepada imigresen Thailand semasa keluar dari Thailand nanti.

3. Setelah itu pemegang geran motor dikehendaki ke kaunter Kastam pula. Disitu, serahkan passport dan geran motor serta borang TM2 Information Conveyance & TM3 Passenger List kepada pegawai yg bertugas. Anda akan diberikan permit import sementara atau borang pengistiharan kastam. Sekali lagi, bayaran harus diberikan sebanyak RM5. Bagi yang pertama kali bawa motor masuk Thailand, proses agak lambat sedikit kerana banyak butiran perlu dimasukkan dalam komputer. Kalau pernah masuk Thailand sebelum ini, proses lagi cepat kerana maklumat motor sudah ada dalam pengkalan data kastam. Permit import sementara atau borang pengistiharan kastam ini hendaklah disimpan dengan baik dan jangan hilang semasa berada di Thailand. Borang ini dikehendaki serah balik semasa kembali ke Malaysia. JIKA ANDA TIDAK KEMBALIKAN BORANG KASTAM DALAM MASA YANG DITENTUKAN, ANDA PERLU BAYAR DENDA UNTUK SETIAP HARI LEWAT SEBANYAK 1,000 BATH DAN TIDAK MELEBIHI 10,000 BATH

Sumber: Konsular Jeneral Malaysia Songkhla
Sumber: Konsular Jeneral Malaysia Songkhla

Sumber: Konsular Jeneral Malaysia Songkhla

Alhamdulilhah semua urusan di ICQ Sadoa berjalan lancar. Sudah selesai semua ini, permulaan langkah meneruskan perjalanan menjelajah ke destinasi yang dituju di Thailand. Walaupun ini adalah pertama kali saya berurusan di sempadan dengan menunggang motorsikal. Apa lagi yang dapat diperkatakan, setiap yang pertama kali dilakukan sudah pasti amat teruja, tetapi ini baru permulaan, perjalanan masih jauh. Jom Ride Thailand, bermulanya perjalanan dua roda menjelajah Thailand.

Danok - Patthalung - Surat Thani
Dalam 1:50 PM, kami berhenti makan tengahari dahulu di restoren muslim berdekatan sebaik sahaja melepasi ICQ Sadao. Setelah selesai makan tengahari, kami memulakan perjalanan menuju Patthalung mengikut route 4, seterusnya route 41 apabila melalui Nakhon  Si Thammarat. Hanya dua rider yang mempunyai GPS Garmin Zumo, iaitu Bro Zainudin dan Bro Hj Halim yang akan menjadi jurupandu kami. Yang lain akan menulis secara ringkas nama jalan dan pekan atau bandar yang akan dilalui. Walaubagamanapun, saya mempunyai aplikasi Gamin XT yang dipasang di dalam telefon bimbit HTC Touch Diamond yang dapat menerima isyarat satelit secara terus tanpa memerlukan data dan disambungkan kepada 'power bank' sebagai sokongan bekalan kuasa bateri.

Perancangannya, kami akan berhenti dalam setiap 200 KM jarak perjalanan bagi mengisi minyak dan berehat seketika. Ini bermakna tiada hentian atau refuel point yang dirancang terlebih dahulu. Bunyinya macam perjalanan main redah sahaja, tetapi itulah caranya yang agak 'koboi' tanpa itinerari terperinci. Masing-masing akan ride mengikut 'pace' sendiri samada secara berpasangan atau individu, tetapi mana-mana rider berada dihadapan sekali, apabila tiba di stesen minyak pertama ditemui setelah mencapai jarak 200 KM hendaklah berhenti dan memberi isyarat kepada rider-rider lain. Setelah menempuh perjalanan kira-kira 197km, kami berhenti mengisi minyak dan berehat di stesen PTT Tambon Ban Khuan Mut, Chulabhorn, Nakhon Si Thammarat masih terletak di laluan Highway 41. Stesen PTT ini menawarkan petrol RON 95, petrol paling mahal, untuk jentera kami. Pengisian penuh tangki kira-kira 320 Baht untuk Versys 650.

1:50 PM, berhenti makan tengahari dahulu di restoren muslim berdekatan sebaik sahaja melepasi ICQ Sadao.

6:00 PM mengisi minyak dan berehat seketika di PTT Ban Khuan Mut, Chulabhorn, Nakhon Si Thammarat 

PTT (Kasidit Oil Limited Partnership), Tambon Ban Khuan Mut, Amphoe Chulabhorn, Chang Wat Nakhon Si Thammarat 

Baru lepas hujan tetapi tidak lebat. Bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan.


Surat Thani
 Berbekal semangat menunggang dengan konsep kembara iaitu terus menunggang sebelum senja berlabuh dimana tiada tempahan awal tempat penginapan dibuat dan juga tanpa kenderaan sokongan. Selepas mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 171 km, dengan jumlah keseluruhannya kira-kira 830 km,  kami tiba di Surat Thani (pautan ke Booking) ketika hari sudah menjelang malam. Sebelum mencari hotel penginapan, kami terlebih dahulu mengisi minyak. Bagi Versys, 360 Baht untuk penuh tagngki. Setelah mendapat panduan dari penduduk tempatan dan pemandu tuk-tuk, kami akhirnya dapat menginap di Wang Tai Hotel, 1 Talad Mai Rd, Surat Thani yang bertaraf 3 bintang. Kadar bilik semalam kira-kira 900 Baht untuk bilik 'twin room'. Jentera-jentera kami dibenarkan parkir dikawasan terbuka berhampiran foyer hotel di bawah kawalan pengawal keselamatan.

 Selepas mendaftar diri, mandi dan berehat seketika, kami keluar utntuk makan malam dengan pickup tuk-tuk yang dapat membawa kami ke pusat bandar Surat Thani untuk makan malam disebuah restoren muslim disyorkan oleh pemandu pickup tuk-tuk. Selesai makan malam, kami terus kembali ke hotel penginapan kerana sudah keletihan menunggang sepanjang hari. Walau bagaimana sepanjang perjalanan pergi dan balik ke hotel, masih dapat melihat keindahan suasana malam pusat bandar Surat Thani kerana jalan ke hotel merupakan jalan utama menyusuri Sungai Tapi.

Route Hari 01



Kembali ke Previu    ⟺    Bersambung hari ke-2

Terima kasih kerana melayari blog ini.

Wassalam,

Fauzy
Dinukilankan pada 3 September 2017

Follow@Twitter:  
View web version if you have problem in viewing mobile version

No comments:

Post a Comment